SELANGOR FC
BERITA

Ronnie Fernández #isRed

Feb 02, 2024 - FAS

Ronnie Fernández, pemain kelahiran Chile, hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain import kedua terbaru Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Penyerang berumur 32 tahun ini merupakan pemain pembangunan pasukan Santiago Wanderers FC bawah 19 tahun sebelum dinaikkan pangkat ke skuad utama kelab tersebut pada Januari 2010. Bakat Ronnie sentiasa dipercayai oleh Santiago Wanderers FC, di mana beliau sering kembali berbakti kepada kelab tersebut walaupun telah beraksi bersama beberapa kelab lain sepanjang karier profesionalnya. Untuk rekod, beliau telah beraksi dalam 92 perlawanan, menjaring 22 gol serta mencetak 10 bantuan gol untuk Santiago Wanderers FC.

Ronnie kemudian melebarkan sayapnya ke negara Arab Saudi untuk beraksi dalam saingan Saudi Pro League, King’s Cup dan Saudi Crown Prince’s Cup bersama Al-Fayha FC dari musim 2017/2018 sehingga 2020/2021. Tahun pertama di luar negara  telah memberi impak positif kepada dirinya, di mana Ronnie telah dinobatkan selaku  Penjaring Terbanyak Saudi Pro League dengan 13 jaringan gol. Secara keseluruhan, beliau berjaya menyumbang 25 jaringan gol dalam 59 perlawanan sepanjang bersama Al-Fayha FC.

Beliau juga pernah beraksi bersama Al Nasr Dubai pada musim 2018/2019. Antara pencapaian paling manis Ronnie bersama kelab ini adalah semasa beliau menjaringkan gol pembukaan untuk pasukan semasa menentang Arsenal FC pada bulan pada 26 March 2019.

Selain itu, pemain berketinggian 179 cm ini juga pernah beraksi di negara Bolivia yang terletak di Amerika Selatan bersama kelab ternama negara tersebut iaitu Bolivar La Paz untuk musim 2016/2017 dan 2023. Ronnie telah menjaringkan 18 gol daripada 26 perlawanan, sekaligus membantu pasukannya menjuarai Copa de la División Profesional dan meraih tempat kedua dalam Primera División 2023. 

Ronnie juga pernah menyarung jersi negara kelahirannya, Chile dalam kelayakan Piala Dunia bagi kontinen Amerika Selatan Kumpulan A menentang Uruguay dan Brazil pada bulan Mac 2022. Beliau juga telah dipanggil menyertai La Roja (The Red One), nama panggilan skuad Chile dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan Jun menentang Korea Republik, Tunisia dan Ghana.

Tahun 2024/2025 akan menjadi musim pertama Ronnie beraksi di Malaysia, "Ini kali pertama saya datang ke Asia Tenggara. Saya amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada Selangor FC. Apa yang saya tahu tentang kelab besar ini ialah sejarah besarnya dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan. Saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan dalam mendapat musim terbaik untuk 2024/2025 dalam Liga Malaysia dan ACL 2," kata Ronnie.

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC berharap kelebihan yang dimiliki Ronnie dalam menjaringkan gol akan memperkukuhkan barisan serangan pasukan untuk musim ini, “Ronnie sangat berkebolehan menjaringkan gol terutamanya di bahagian dalam kotak. Beliau mempunyai pengalaman bermain di beberapa negara sebagai ‘target man’ dalam kariernya, ini akan membantu menambah kekuatan dalam pasukan. Saya berharap Ronnie akan cepat menyesuaikan diri beliau bersama pemain-pemain lain dan menyelesaikan masalah serangan musim lalu.”

Apalah kelab tanpa penyokong. Ronnie menyatakan bahawa beliau tidak sabar untuk bertemu dengan penyokong Gergasi Merah. Beliau sudah bersedia untuk membawa kegembiraan untuk kelab dan peminat-peminat Selangor FC. 

Selangor FC berharap Ronnie Fernández dapat mengukuhkan barisan serangan pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. Selamat datang, Ronnie!

Ronnie Fernández merupakan pemain terbaru kedua yang diperkenalkan untuk membarisi skuad utama selepas Selangor FC memperkenalkan pemain pertahanan, Umarbek Eshmurodov semalam.

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.

Demi Kebanggaan!